SEKOLAH KLUSTER KECEMERLANGAN (SKK)

SEKOLAH KLUSTER KECEMERLANGAN (SKK)


DEFINISI
Sekolah Kluster Kecemerlangan ialah sekolah yang cemerlang dalam kelompoknya yang dapat melahirkan murid yang holistik dalam aspek akademik, kokurikulum, sahsiah serta penampilan diri. Sekolah ini juga mempunyai kebitaraan yang mengambarkan watak sekolah.

TUJUAN
Sekolah Kluster Kecemerlangan diwujudkan bagi melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan Malaysia di samping membangunkan sekolah yang boleh dicontohi oleh sekolah dalam kelompok yang sama dan sekolah lain di luar kelompok dan seterusnya menjadi showcase di peringkat antarabangsa.

PELAKSANAAN
Sekolah yang terpilih sebagai SKK perlu dipimpin dan ditadbir oleh pengetua/guru besar cemerlang dalam peranan dan tanggungjawab yang dapat melonjakkan kecemerlangan sekolah mereka. Antara peranan dan tanggungjawab tersebut ialah menyediakan Request for Proposal (RFP).

Setiap SKK diberi Peruntukan Khas Sekolah Kluster untuk membangun dan melonjakkan kebitaraan sekolah hingga berjaya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. SKK boleh membelanjakan peruntukan tersebut mengikut empat komponen yang terdapat dalam RFP iaitu:
               I.        Aktiviti dan kejurulatihan;
              II.        Harta modal ICT dan bukan ICT;
            III.        Pengantarabangsaan; dan
            IV.        Penyelenggaraan.
SKK perlu menyediakan KPI mengikut keupayaan mereka dengan merujuk kepada panduan KPI oleh PPD, JPN dan KPM.

SKK perlu mempunyai satu bidang kebitaraan akademik dan satu kebitaraan kokurikulum untuk dibangunkan yang menjadi watak sekolah, dan seterusnya melonjakkan kebitaraan tersebut sehingga mencapai peringkat antarabangsa.

SKK akan menjadi contoh kepada sekolah-sekolah dalam kelompoknya dan perlu menyediakan dan melaksanakan piawaian serta penandaarasan berdasarkan KPI. Tindakan yang boleh diambil untuk mengekalkan kecemerlangan sekolah adalah dengan mengenal pasti dan melaksanakan amalan terbaik, menjalankan kajian impak dan mempromosi kejayaan kepada sekolah lain.

SKK perlu memainkan peranan dalam meningkatkan jalinan kerjasama dan jaringan antara sekolah cemerlang di dalam dan luar negara supaya sekolah ini menjadi showcase negara. SKK juga mengadakan jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan, swasta atau NGO dalam dan luar Negara untuk membangunkan modal insan cemerlang minda kelas pertama.

SKK merintis perubahan dengan memperkenalkan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran serta melaksanakan kajian tindakan dalam pelbagai bidang. Kerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) banyak membantu SKK meningkatkan kecemerlangan SKK terutamanya dalam mengembangkan potensi sekolah, guru dan pelajar terutama dalam aspek kebitaraan yang berupaya mernyerlahkan watak sekolah.

Program Khidmat Masyarakat SKK membuka peluang kepada murid-murid SKK menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab. Di samping mewujudkan hubungan baik dengan masyarakat setempat, program ini membantu murid-murid SKK agar lebih berkeyakinan untuk berkomunikasi dan bermotivasi tinggi juga sentiasa bersedia untuk membantu masyarakat setempat.

KRITERIA PEMILIHAN SKK
Pemilihan SKK berdasarkan sembilan syarat generik yang telah dibuat penambahbaikan seperti berikut
   I.        Melaksanakan Penarafan Kendiri dengan menggunakan SKPM 2003 dengan pencapaian sekurang-kurangnya Tahap Cemerlang 80% dan ke atas;
    II.        Mematuhi syarat mininum akademik yang ditetapkan mengikut kategori dan tahap sekolah berdasarkan Syarat Pencapaian Akademik Calon SKK [Purata tiga tahun terakhir Gred Purata Sekolah (GPS)];
   III.        Mencapai kemenangan/kejayaan dalam aktiviti kokurikulum dalam tempoh tiga tahun terakhir (Tahap A dan B sekurang-kurangnya peringkat negeri dan Tahap C sekurang-kurangnya peringkat daerah);
  IV.        Memenangi anugerah kecemerlangan sekurang-kurangnya di peringkat negeri dalam tempoh tiga tahun terakhir (Tahap A dan B sekurang-kurangnya peringkat negeri dan Tahap C - sekurang-kurangnya peringkat daerah);
    V.        Sekolah menerima laporan audit tanpa teguran dalam tempoh tiga tahun terakhir;
  VI.        Tiada kes kehilangan harta kerajaan disebabkan oleh kecuaian pihak sekolah;
 VII.        Tiada pelanggaran punca kuasa yang mengganggu perjalanan program sekolah dan pengurusan pendidikan dalam tempoh tiga tahun terakhir;
VIII.        Semua kes pecah amanah/penyelewengan kuasa/tindakan tatatertib (Perintah Am Bab D) untuk tempoh tiga tahun terakhir (sekiranya berlaku dalam kalangan pengetua, guru besar dan guru) telah diambil tindakan mengikut prosedur yang ditetapkan; dan
  IX.        Mengurus masalah 3M dengan berkesan (mampu mengurangkan) dalam tempoh tiga tahun terakhir.

SUMBANGAN SKK KEPADA PEMBANGUNAN PENDIDIKAN
SKK berperanan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan negara menerusi beberapa kaedah:
      I.        Menjadi model kepada sekolah berhampiran;
    II.        Menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan sekolah berhampiran; dan
   III.        Berkongsi kemudahan fizikal dan kepakaran dengan sekolah berhampiran.

Share on Google Plus

About Cikgu Kamal Azrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments:

Post a Comment