PIBG aktif bangun sahsiah sekolah pacu pelajar

Keaktifan aktiviti sekolah boleh diukur melalui peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seiring dengan keperluan sekolah, guru dan pembangunan pelajar. Di negara ini, ada sekolah yang kelihatan aktif, sederhana aktif atau pasif bersama PIBG. Mengapa begitu? Adakah sekolah terlalu bergantung kepada fungsi PIBG sama ada dari sumber kewangan, profesionalisme pengurusan, kepakaran dan komitmen dalam kalangan ibu bapa? Di mana pula peranan ibu bapa dalam PIBG membantu bagi membangunkan sahsiah sekolah itu sendiri. Soal ini timbul berikutan ada satu soalan jawab lisan harian di Dewan Rakyat minggu lalu daripada seorang Ahli Parlimen yang meminta Kementerian Pendidikan menyatakan langkah yang diambil bagi menggalakkan ibu bapa menghadiri mesyuarat PIBG sekolah demi kepentingan dan tanggungjawab terhadap pendidikan anak. 

Ibu bapa perlu faham bahawa PIBG badan yang sah ditubuhkan sebagai penghubung antara ibu bapa, guru, sekolah, masyarakat dan pelajar. Komitmen, kerjasama dan sumbangan pelbagai pihak berkepentingan seperti masyarakat, ibu bapa, pelajar dan guru amat penting dalam memantapkan kecemerlangan pelajar selaku individu yang mampu menyumbang dan memajukan masyarakat. Pencapaian pelajar lebih bermakna apabila keluarga mereka juga turut berperanan dan membabitkan diri dalam kejayaan anak. Sebarang masalah yang wujud di sekolah boleh diselesaikan sekiranya pihak berkepentingan bekerjasama dengan pihak sekolah. 

Seterusnya masyarakat melalui ibu bapa perlu juga bergerak aktif dan memberi sumbangan termampu bagi mengatasi masalah yang berlaku di sekolah. Sumbangan ibu bapa secara material iaitu sumber kewangan untuk aktiviti dan program yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Sumbangan moral Selain itu, sumbangan moral juga adalah penting bagi mendorong pelajar untuk mencapai kejayaan yang cemerlang. Antara sokongan moral yang boleh diberikan oleh ibu bapa ialah dengan menghadiri Mesyuarat Agung serta memberi pendapat, sentiasa mengambil tahu mengenai anak mereka di sekolah dan memberi sumbangan tenaga melalui permuafakatan daripada aktiviti sekolah seperti kem motivasi dan sebagainya. Kalau ikut sejarahnya, pertubuhan PIBG peringkat sekolah rendah dan menengah adalah hasil pelaksanaan syor berlandaskan Laporan Aziz yang diumumkan pada tahun 1971. Mengikut Akta Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia 1996, tujuan PIBG ditubuhkan adalah mengadakan forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan pelajar dalam sekolah dalam meningkatkan imej; membantu dan menambah usaha sekolah memenuhi kehendak dan keperluan kebendaan pelajar dalam kegiatan mereka dan membolehkan ibu bapa dan guru dalam sekolah bertukar fikiran dan maklumat mengenai pendidikan. 

Malahan empat fungsi PIBG untuk menjalankan aktiviti atau program bagi mencapai tujuan persatuan yang dinyatakan di Perenggan 3 Akta Pendidikan 1996 seperti membantu dalam memajukan perkembangan pelajar dan menjaga kebajikan pelajar; menambahkan sumber kewangan sekolah bagi menambah dan meningkatkan kemudahan di sekolah; meningkatkan kemesraan dan menyediakan saluran komunikasi dan hubungan antara sekolah dengan masyarakat serta meningkatkan keceriaan premis sekolah bagi mewujudkan suasana kondusif menjayakan aktiviti dan program pendidikan. Anjakan paradigma Selari dengan mandat terdahulu dan perlunya anjakan paradigma, seperti mana prinsip Kementerian Pendidikan sendiri menerusi Anjakan 9 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu Bekerjasama dengan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta menyediakan sarana (toolkits) ibu bapa dan sarana sekolah sebagai panduan dan mekanisme kepada ibu bapa untuk berperanan dalam meningkatkan pembelajaran anak. Sarana ini menjadi instrumen ibu bapa menilai tahap pembabitan mereka dalam meningkatkan pembelajaran pelajar. Seterusnya ibu bapa diberikan panduan mendidik anak dengan adanya contoh amalan terbaik. 

Di bawah program sebegini, Biro Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) perlu diwujudkan bagi membantu ibu bapa melalui perkongsian buah fikiran dan menangani setiap isu di bawah struktur PIBG sedia ada. KSIB ialah saluran kerjasama dan komunikasi merapatkan hubungan di antara ibu bapa, pelajar dan sekolah serta lebih banyak interaksi, kerjasama perkongsian dan percambahan ilmu dapat berlaku. Pada era 'new new media' ini, Facebook, Twitter, WhatsApp, Skype, SMS, MMS mahupun video phone komunikasi dapat dijadikan medan penyebaran maklumat antara pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat. Mengikut Internet World Stats bagi negara Asia sehingga 30 Jun 2011, pengguna internet negara ini menjangkau 16,902,600 pengguna berbanding hanya 3,700,000 pada tahun 2000. Sudah tiba masanya Yang Dipertua PIBG, guru besar, guru dan ibu bapa bijak mengaplikasi kekuatan medan komunikasi media baharu sebagai daya tarikan interaktif kepada ibu bapa masa kini demi kelangsungan kecemerlangan dan masa depan anak.
Share on Google Plus

About Cikgu Kamal Azrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments:

Post a Comment